Tuesday, April 12, 2011
Alter Terahsia Bangsa Melayu XVII
Di kawasan runtuhan kota purba di Wat Hua Wiang di Chaiya,daerah Suratthani di Thailand,telah ditemui batu bersurat di pintu kota purba berketinggian 1.30 meter,dan ini tidak termasuk bahagian yang masih tertanam di dalam tanah,dengan lebar batu ini mencapai 45 cm dan berketebalan 13 cm.
Di dalam batu bersurat ini tercatat nama seorang raja purba dan dinasti yang diwakilinya,Padmawangsa (dinasti Teratai).Dipahat dalam bahasa Sanskrit dan bertulisan Kawi Kuno,disebutkan di dalamnya bahawa raja itu mempunyai hubungan dengan dua lagi dinasti purba,Sailendra dan Sriwijaya.
Berdasarkan ini,seorang pengkaji sejarah Thailand,Chand Chirayu Rajani berusaha untuk meyakinkan peminat-peminat sejarah Sriwijaya,sebuah empayar legenda thalassocracy di Asia Tenggara juga menarik perhatian pakar-pakar sejarah dunia bahawa ibukota empayar terkenal itu sebenarnya berada di selatan Thailand.
Sebenarnya,terdapat beratus-ratus malah beribu-ribu manuskrip dan batu bersurat yang ditemui di seluruh Thailand malah Indochina,mengungkapkan sejarah paling gelap raja-raja Melayu serta 'city-states' mereka yang hilang sejak berabad-abad lamanya.Sebahagian besar rahsia ini telah disenyapkan oleh para sejarahwan Thailand,namun 'malangnya' didedahkan pula oleh sejarahwan Kemboja yang juga turut menemui kesan-kesan garis keturunan Sriwijaya dan Sailendra,yang tercatat dalam petitih-petitih kuno Khmer sebagai "Malayu".
Generasi baru yang mengkaji sejarah Thailand semakin ghairah mahu mengetahui siapakah 'Sriwijaya' dan siapakah 'Malayu'...rahsianya cuba ditutup rapat oleh istana Chakri,namun batu-batu bersurat itu seakan-akan mahu 'bersuara'...rahsia yang lama terpendam,semakin lama semakin menggamit seribu satu persoalan.
Riwayat-riwayat Thai Kuno mengatakan terdapat seorang raja yang amat alim dalam perihal ajaran Buddha,dan dari raja ini...orang-orang Thai purba mempelajari agama Buddha...
Svasti,
Raja pelindung bandar Tambralingga yang mendukung Phraparitti Prahyokshan yang melindungi ajaran Buddha.Bagindalah yang keturunannya datang dari wangsa suci, Padmawangsa.Rupa parasnya bagus bagaikan hari Rabu tahun Reka (Ayam), wajahnya umpama bulan purnama memerintah sambil memegang sastera juga memayungi dharma serta menanggung bebanan menjadi kepala kepada kerabat diraja.Bagindalah yang memegang gelaran Sri Dharmaraja...
MAULIMALARAJA
&
SRI DHARMARAJA
"Those who,after the reign of Uroja, occupied the throne of Champapura,where Sri Bhadrasvara is the essence of the kingdom and the perpetuity universally known,from the descendant of Paramesvara,was the king Uroja; after him was Cri Man Chrimatiman Dharmmaraja"
(Inscription of Dong-doung,Vietnam)
Sri Dharmaraja adalah nama sebuah kerajaan kuno yang membayangi sejarah Thailand dan Kemboja.Selalu muncul dalam hikayat-hikayat Melayu sebagai 'Ligor',kini ia terletak di Nakhon Si Thammarath,sebuah daerah di Thailand.Perkataan 'Nakhon Si Thammarat' itu sendiri adalah sebutan lidah orang Thai kepada 'Nagara Sri Dharmaraja'.Riwayat-riwayat Sinhala dan Pali menggelarkannya Tambralingga,merupakan nama kota dalam Nagara Sri Dharmaraja.Rekod China menyebutkan ia sebagai Ho-ling,Tanmaling,Tan-ma-liu dan Po-ling.Catatan Tamil menyebutnya sebagai Madamalinggam.Asalnya,ia adalah berkonsepkan 'Malay city-states' namun selepas bebas dari pengaruh Sriwijaya (sekitar abad ke-11 Masehi),Tambralingga mula meluaskan kekuasaannya ke seluruh Segenting Kra hingga mencapai Temasek (Singapura),di mana raja Tambralingga telah melantik Temagi sebagai wakil pemerintah.Selepas itu,empayarnya digelar 'Nagara Sri Dharmaraja' dengan istilah 'nagara' yang bermaksud wilayah kekuasaan yang besar dan bukan lagi sekadar sebuah negarakota.
'Sri Dharmaraja' diambil dari gelaran yang dipakai oleh keturunan pemerintah kerajaan ini.Gelaran ini dikesan dipakai oleh salah seorang rajanya yang paling terkenal,Chandrabanu.Beliau telah memakai gelaran ini menjadi Chandrabanu Sri Dharmaraja.
Dalam inskripsi di Chaiya,tercatat nama raja ini:
Penahi Chandrabhaanumtanah Sri Dharmaraja sayah Dharmsoksmaanni
Dikalangan para pedagang asing,kerajaan ini lebih dikenali sebagai 'Ligor',berasal dari apa yang mereka dengar dari orang-orang Melayu (Legur) yang juga berdagang di sekitar Segenting Kra.Kerajaan ini diperintah oleh raja-raja Melayu Segenting Kra dimana garis keturunan mereka mempunyai kaitan dengan dinasti Sriwijayamala dan Kedah Tua.Rakyatnya berbilang kaum,dengan kaum Melayu sebagai aristokrat dan golongan pedagang,Mon,Khmer dan etnik Tai yang baru tiba dari utara.
Kerajaan Melayu Purba ini dikesan pernah sezaman dengan Funan dan Champa,malah pernah berada di bawah Funan.Ini dikuatkan dengan perlantikan salah seorang jeneral perang tempatan,Sri Man yang bergelar 'Sri Mate Sri Man Dharmaraja' sebagai Emperor Funan.'Sri Man Dharmaraja' menurut pakar sejarah Indochina merujuk kepada kerabat istana purba Sri Dharmaraja.
Pada peringkat pertengahan kerajaan Angkor,kerabat dari istana Sri Dharmaraja telah memainkan peranan dalam pemerintahan Empayar Khmer,sehinggakan siapa yang menduduki takhta Sri Dharmaraja,maka dia juga akan memerintah Angkor.Seperti yang diketahui umum,kerajaan Angkor ditubuhkan oleh Jayavarman II,yang mempunyai hubungan dengan keluarga dinasti Sailendra yang berkuasa di Jawa.Sailendra ialah dinasti Melayu Purba yang membayangi Funan.Namun selepas Funan direbut oleh orang Khmer melalui Chenla (bukan dengan peperangan,tetapi melalui perkahwinan),kebanyakan kerabat diraja Sailendra berpindah ke semenanjung sebelum ke Jawa,dan menubuhkan dinasti Sailendra di Jawa.Legenda Jawa menyebutkan seorang yang bernama Aji Saka yang mula-mula menjadi raja di Jawa dan membawa tamadun kepada penduduk Jawa.Dalam riwayat Khmer,raja Sailendra itu adalah Ajiraja,yang mempunyai darah keturunan Saka,salah satu rumpun Kamboja yang mengahwini kerabat raja Melayu Kuno Indochina pada masa silam.
Apabila Sri Dharmaraja di bawah pengaruh Sriwijaya,maka secara tidak langsung,istana Angkor juga di bawah kawalan Sriwijaya.Seperti biasa,Sriwijaya tidak menjajah Angkor secara langsung,tetapi acapkali mendesak Angkor memenuhi bekalan pertanian untuk keperluan rangkaian perdagangan maritim Sriwijaya.
Untuk mengetahui rahsia kerajaan Ayutthaya dan Angkor,Sri Dharmaraja adalah kunci yang hilang kepada semua teka-teki.
Dharmasokaraja
Sebelum Sriwijaya menjadi pusat pengajian agama Buddha antarabangsa (sami-sami dari China,India dan sejauh Tibet datang belajar di sini),Sri Dharmaraja adalah pusat pengembangan agama Buddha pada masa silam.Ketika itu agama orang Tai kebanyakannya percaya kepada 'nat' dan tahyul.Sri Dharmaraja telah membuat hubungan dengan Sri Lanka dalam hal-hal keagamaan Buddha.Ini berbeza dengan satu lagi saudara serumpun mereka di timur laut,Champa yang menganut fahaman Hindu sejak zaman-berzaman.
Mengapa menjadi pusat pengajian agama Buddha?Ini kerana pada masa yang sama,Sri Dharmaraja adalah pusat perdagangan yang penting,warisan dari Empayar Jawaka yang berpecah sebelum itu.Ini tercatat dalam catatan Chao Ju-Kua,
"Negeri ini,terletak di laut dan mengendalikan selat melalui lalu lintas darat dan laut,mengawal laluan dari semua arah ... Jika kapal-kapal dagang lewat tanpa masuk ke dalam kawalan negeri ini,perahu-perahu mereka akan bersedia keluar untuk melakukan serangan gabungan,dan semua bersedia untuk mati. Ini adalah alasan mengapa negeri ini merupakan pusat pelayaran yang besar...."
Ini menunjukkan ketika itu,Sri Dharmaraja adalah penguasa Selat Melaka dan semenanjung.Ini kerana siapa yang menguasai Selat Melaka dan semenanjung,maka dia akan menguasai perdagangan antara negeri-negeri barat termasuk India,dengan China.Jika pada hari ini,Singapura kaya-raya hasil pelabuhannya yang mengawal di ekor Selat Melaka,bayangkan,Sri Dharmaraja yang mengawal Selat Melaka dari arah kepala selat pada masa silam.
Warisan agama Buddha yang diambil oleh raja Sri Dharmaraja adalah sejauh era Asoka (304–232 Sebelum Masehi) dan ini mengesahkan pandangan sejarahwan India seperti Nikalanta Sastri tentang hubungan India dan negeri-negeri Melayu sejauh 300 tahun sebelum Masehi.Sarjana Khmer mendakwa terdapat pengaruh dinasti Maurya di dalam bayang-bayang Sriwijaya dan Sri Dharmaraja.Sebab itu,rajanya juga menggelar kerajaannya sebagai Dharmasoka dan rajanya sebagai Dharmasokaraja.
Ada pendapat yang mengatakan Dharmasokaraja adalah satu kerajaan lain.Dicatatkan dalam legenda Thai 'Mukh Batoh',bahawa dinasti Sailendra telah menubuhkan kerajaan kecil di sekitar Segenting Kra (sebelum berpindah ke Jawa) di bawah perlindungan raja penjaga kepada dinasti Sriwijayamala.'Raja penjaga' itu diyakini kuat sebagai raja Nagara Sri Dharmaraja.
Tidak banyak diketahui tentang raja-raja Sri Dharmaraja.Kemungkinan hanya keturunan mereka sahaja yang tahu salasilah kerabat raja Sri Dharmaraja.Namun dalam sejarah Indochina,terdapat dua orang raja dari istana Sri Dharmaraja (di luar bayang-bayang Angkor) yang terkenal.Salah satunya ialah Sujita,yang disebut-sebut dalam riwayat-riwayat orang Mon (Mon Chronicle) seperti Chamadevivamsa dan Jinakalamali,yang telah menyerang Lavo,sebuah kerajaan terkenal orang Mon di tengah Thailand.Seorang lagi ialah raja Melayu Sri Dharmaraja yang dikenali di kebanyakannya dalam riwayat-riwayat Thai kuno,iaitu Chandrabhanu Sri Dharmaraja.
Chandrabhanu,'Javakan King' yang Menyerang Sri Lanka
Chandrabhanu Sri Dharmaraja,adalah seorang raja yang memerintah Tambralingga,sebuah negarakota Melayu (Malay city-states) di utara semenanjung Tanah Melayu,tepatnya di kawasan yang dikenali sebagai Segenting Kra,satu jalur daratan yang menghubung semenanjung Malaysia dengan Indochina.
Beliau memerintah pada tahun 1230 hingga 1270 Masehi.
Nama raja ini terkenal di kalangan sejarahwan Thai disebabkan penemuan inskripsi di Wat Hua Wiang di Chaiya.Di dalam batu bersurat no.2,dimuatkan puji-pujian bagi Phra Adhiraja Phra Ong,iaitu gelaran putera mahkota Sriwijaya di mana ia disebutkan sebagai:
"baginda maharaja mempunyai kesegakan lagi menawan.Bangsawan seperti sinar mentari dan bulan laksananya"
Anehnya gelaran ini untuk putera mahkota,di mana gelaran untuk 'maharaja' adalah Phra Chao Khrung Srivijaya,atau setidak-tidaknya dipahat nama Phra Chao Chandrabhanu Dharmaraja.Ini menunjukkan,pengaruh raja yang lebih tinggi dari Chandrabhanu,dalam kes ini,seorang raja besar dari keturunan yang sama,sudah pasti raja-raja dinasti Sriwijayamala.Pada batu bersurat ke-23 pula,ada dinyatakan bahawa pengganti maharaja itu datang dari raja keturunan 'Sailendra'.Pada batu bersurat ke-24 pula dinyatakan Chandrabhanu adalah dari dinasti Padmavamsa atau Pathamawong (dinasti Teratai).
Dalam batu bersurat itu seterusnya menceritakan kekuasaan Sriwijaya (Sriweechai) yang mengandungi 15 wilayah jajahan dengan beratus-ratus pos kawalan dan ketua-ketua pemerintah tempatan yang membuat hubungan dengan Sriwijaya dan berkerjasama antara satu sama lain.Sriwijaya juga mempunyai jaringan perdagangan yang luas.Apa yang menariknya,di dalam riwayat Sri Dharmaraja ini ada menyebutkan sistem pemerintahan Sriwijaya yang berkonsepkan 'maharaja pelindung' dan jawatan maharaja ini diperintah bersama merangkumi hal-hal politik dan pengurusan jaringan perdagangan maritim.15 kota-kota yang terdiri dari kuasa-kuasa laut dan pelabuhan-pelabuhan utama dalam kesatuan Empayar Sriwijaya mempunyai peluang untuk menggantikan kuasa kerajaan pusat dan menguasai empayar (ini adalah sama dengan konsep 'Yang Dipertuan Agong' yang diamalkan Malaysia pada hari ini).
Namun setelah beberapa lama,Tambralingga mula membebaskan diri dari Sriwijaya.Raja-rajanya mula membina kubu-kubu dari batu-bata untuk menahan serangan laut Sriwijaya.Setelah aman sedikit dari gangguan Sriwijaya,raja Tambralingga pun meluaskan penguasaan wilayahnya sendiri dan menamakan kerajaannya sebagai 'Sri Dharmaraja'.Raja Sri Dharmaraja mula melebarkan pengaruhnya hingga keseluruhan Tanah Melayu sampai ke Temasek (Singapura).Di sini,raja melantik seorang wakil pemerintah bernama Temagi,untuk mentadbir Temasek.Ketika ini Sriwijaya sudah berpecah,namun kerajaan pusatnya masih berkuasa di Sumatera,khususnya sekitar Palembang dan Jambi.
Nagara Sri Dharmaraja menjadi dominan dan makmur,dan ketika inilah raja membina monumen yang terkenal iaitu Phra Borom Dhatu dan Wat Mahathat yang mengandungi stupa besar gunanya untuk menyimpan 'gigi Buddha',yang kononnya berada di Sri Lanka.
Keinginan raja Chandrabhanu untuk memiliki 'gigi Buddha' itu membuatkan beliau menghantar tentera lautnya menyerang Sri Lanka pada tahun 1247 Masehi.
Riwayat-riwayat Pali menceritakan ketika Kerajaan Jaffna memerintah,seorang raja 'Javaka' telah melakukan serangan ke atas Sri Lanka.Di dalam Mahavamsa,iaitu Riwayat Sri Lanka ada menyebutkan:
"Kemudian menjelangnya tahun ke-11,setelah penobatan Raja Parakramabahu...(pada tahun 1247 Masehi) sesuatu yang tidak terduga terjadi.Seorang raja Javaka menyerang Sri Lanka.Dia adalah penjajah pertama yang datang dari negara belah tenggara.Dia datang dari bahagian utara (semenanjung Tanah Melayu)"
"Pada masa itu,daerah ini dikenali sebagai 'Tambralinggadesa' dan ia dikenali sebagai sebuah negeri beragama Buddha.Raja penjajah ini juga merupakan penganut Buddha,bernama Chandrabhanu.Ia mendarat di pantai selatan Sri Lanka.Ada lagi rujukan untuk pendaratan,yang mengatakan ia mendarat di pantai utara-barat. Namun,ia dan orang-orangnya bukanlah selepas Magha"
"Mereka juga mulai menjarah milik orang tidak berdosa.Tapi raja Javaka ini cuba untuk memenangi hati para Buddha,entah bagaimana"
"Jadi dia tidak pernah menghancurkan tempat-tempat ibadah Buddha.Sebaliknya,ia diperbaiki mereka dan membayar penghormatan juga"
Ada teori lain tentang asal-usul raja Javaka,Chandrabhanu ini.Mengikut Mahavamsa,tempat kelahirannya adalah 'Vathuwaviyan' di Semenanjung Tanah Melayu.Teori ini muncul melalui inskripsi yang ditemui di sana.Sarjana selatan Thai berpendapat bahawa nama ini berasal dari kata Melayu,'Batu Wangian' dimana tempat suci para kerabat Padmawangsa (kerabat bunga Teratai) dilahirkan.
Kata 'Javaka' berasal dari nama empayar purba Melayu,'Jawaka' yang dikenali sebagai 'Savak' dalam loghat Pali dan 'Zabak/Zabag' oleh para pedagang Arab.
Sampai disini,sudah ada bukti untuk menunjukkan bahawa beliau berasal dari generasi Raja SriVijaya.Namun,dari zaman kuno,Sri Lanka telah pun memelihara hubungan agama dengan negeri-negeri Melayu sekian lama sejak zaman Gupta dan Asoka.
Di masa lalu,sami-sami Buddha Sri Lanka telah melakukan perjalanan ke Siam,Kemboja dan Burma.Ada bukti sejarah untuk menunjukkan bahawa mereka pergi ke pulau Jawa dan Sumatera serta Semenanjung Tanah Melayu.
Armada laut Chandrabhanu telah melancarkan serangan ke bahagian selatan pulau Sri Lanka,tetapi dikalahkan oleh raja Sri Lanka.Namun Chandrabhanu mampu mendirikan kerajaan bebas di bahagian utara pulau itu,sehingga namanya termasuk dalam daftar raja-raja Kerajaan Jaffna yang memerintah Sri Lanka.Tetapi pada tahun 1258 ia diserang dan ditundukkan oleh Pandya.Pada 1262 Chandrabhanu melancarkan serangan di selatan pulau itu,pasukannya kali ini diperkuatkan dengan penambahan pasukan Tamil dan Sinhala,namun sekali lagi dikalahkan kerajaan Pandya (kerajaan ini juga yang menewaskan kerajaan Chola) ketika Pandya bergabung dengan tentera Sri Lanka dan Chandrabhanu sendiri terbunuh dalam pertempuran itu.Walau bagaimanapun,anak Chandrabhanu masih mampu mempertahankan kawalan ke atas kerajaan utara,walaupun tunduk kepada Pandya dan memerintah sehingga akhir abad ke-14.
Serangan Chandrabhanu ke atas Sri Lanka itu membuktikan terdapatnya kekuatan dari Asia Tenggara yang mampu menghantar serangan malah membina kerajaan di luar kawasan Asia Tenggara.Namun penguasaan dinasti-dinasti Melayu di Sri Lanka sebenarnya berlangsung lebih lama,tepatnya ketika era keemasan Sriwijaya.Penemuan candi purba di Kantarodai menyaksikan senibina menyerupai elemen-elemen Borobudur.Anehnya,pakar arkeologi Sri Lanka mendakwa pengaruh ini adalah datang dari luar ke Sri Lanka.Ini kerana gaya senibina candi Kantarodai tidak dijumpai di mana-mana di Sri Lanka malah di tanah besar India.Usia tapak arkeologi si Kantarodai adalah seawal abad ke-2 Sebelum Masehi!Pakar-pakar sejarah Sri Lanka agak bingung memikirkan dari mana senibina stupa bulat ini tiba,akhirnya mereka berpagang kepada Teori Borobudur setakat ini bagi memecahkan kebuntuan.Senibina Borobudur benar-benar senibina unik dinasti Melayu Sailendra.Rahsia dan asal-usul dinasti misteri ini akan dijelaskan terperinci di dalam artikel 'The Sailendras' yang akan menyusul nanti.Semuanya akan dijelaskan tentang hubungan Sri Dharmaraja dengan Sailendra dan Sriwijayamala.
Penubuhan Ayutthaya dan Pembukaan Sebuah Rahsia
Ayodhya adalah salah satu wilayah Sri Dharmaraja.Kehadiran U-Thong,seorang raja peranakan Cina-Tai telah merebut wilayah ini dari Sri Dharmaraja.Lama kelamaan kuasa dinasti raja ini semakin kuat dan akhirnya berhasil menyerap Sri Dharmaraja ke dalam Ayutthaya (Ayodhya Baru).Pada masa yang sama,kerabat Sri Dharmaraja memasuki istana Ayutthaya melalui hubungan persaudaraan apabila raja-raja Ayutthaya mengambil kerabat diraja Sri Dharmaraja sebagai anak-anak angkat.Sebab itu dalam sejarah Ayutthaya,dinasti Ayutthaya yang bercampur darah dengan kerabat Sri Dharmaraja tidak menyenangi dinasti Sukhotai.Sukhotai pernah menyerang Sri Dharmaraja sebelum itu.Dengan penubuhan Ayutthaya,Sri Dharmaraja telah berhasil menundukkan Sukhotai menjadi negeri bawahan Ayutthaya.Namun begitu Sukhotai tetap memainkan peranan dalam sejarah Ayutthaya,sehinggakan bangsawan mereka ada yang menjadi raja Ayutthaya.Ketika itu terdapat 4 kerabat atau kelompok di Ayutthaya yang punya pengaruh besar dalam politik Ayutthaya:
1.Supannabhum (kemungkinan orang Mon)
2.Uthong, (peranakan Cina-Thai)
3.Sukhothai, (Thai)
4.Sri Thammarat (Melayu)
Pada era Ayutthayalah,budaya Melayu Segenting Kra dan kerabat Kemboja ('Khmer' menurut sarjana/nasionalis Khmer) telah mempengaruhi segala aspek kehidupan orang Tai dengan lebih menyeluruh sehinggakan mereka juga digelar sebagai 'Siam'.Asimilasi Tai yang dahulunya memegang identiti kaum-kaum Monggol Selatan ketika era Dinasti Yuan berubah dengan drastiknya menjadi kaum yang berbudayakan Khmer dan Melayu Segenting Kra namun berbahasa Kradai.Tai-Siam ini berlainan dengan Tai Utara yang disebut Lanna dan kebudayaan Lanna.Juga keseniannya berlainan dengan Tai Yuan iaitu Sukhotai (Tai Yuan,dengan 'Yuan' adalah nama dinasti Monggol yang memerintah China,nenek moyang orang Tai berasal dari pergunungan Altai,dari salah satu suku Monggolia),Tai Ayutthaya ini telah berjaya mendapatkan identiti mereka sendiri hasil cedukan yang teruk dari bangsa Melayu Segenting Kra dan Khmer.Ketika inilah,kaum wanita Tai,mula memakai kain sarong,atau sampot dan para wanita bangsawan pula memakai kain sarong dengan gaya berkemban,pakaian wanita Sriwichai (Sriwijaya) pada masa silam.Hiasan kepala pula (headgear) diubahsuai dari mahkota-mahkota raja-raja Kemboja (Khmer).Senibina dicedok 100% dari Kemboja dan Segenting Kra,terutama ketika raja Ayutthaya menawan Angkor,beribu-ribu artisan,penari dan tukang-tukang Kemboja dibawa ke kota Ayutthaya untuk membangunkan tamadun Siam.Tarian pula banyak meniru tarian Mon dan Melayu.Ukiran meniru ukiran kuil-kuil Angkor namun senibina Ayutthaya menggunakan bata (bricks) manakala kuil-kuil Angkor dibina dengan cara memotong batu-batu gunung (stone).Cara ini mewarisi kejuruteraan Sailendra dan Sriwijaya.Contohnya Borobudur dan candi-candi di Jawa yang menggunakan batu (stone) bukannya (bricks).Teknologi bata (bricks) biasa digunakan oleh kerajaan Kedah Tua.Di Lembah Bujang,dijumpai rumah-rumah membakar bata-bata merah.
Raja-raja Sri Dharmaraja sejak dari era Raja U-Thong,menghadapi kuasa baru Ayutthaya yang terbina dari bekas wilayahnya sendiri.Sri Dharmaraja masih di bawah bayangan Ayutthaya.Apabila raja Patani,juga masih saudara dengan kerabat Sri Dharmaraja memeluk Islam,raja Sri Dharmaraja mula memusuhi Raja Patani dan sebaliknya semakin rapat dengan Ayutthaya yang seagama (Buddha).Namun begitu,Ayutthaya masih menyimpan hasrat untuk memiliki Sri Dharmaraja yang mempunyai rangkaian perdagangan maritim dan pengaruhnya yang besar ke atas negeri-negeri Melayu.Suatu ketika,raja Sri Dharmaraja yang terakhir bernama Sri Raja berjaya ditangkap oleh Chakrapat,raja Ayutthaya.Semasa di dalam tahanan Ayutthaya,Sri Raja merasa hidupnya tidak terlalu lama lalu menyampaikan pesanan penting kepada Raja Ayutthaya,Chakrapat:
"Bana Sri Dharmasokaraja memohon untuk mempersembahkan 3 laki-laki, 3 perempuan, dan 100 laki-laki dalam rombongan daripada tiga lelaki dan tiga wanita. Dia meminta bahawa raja menerima anak-anak dan cucu iaitu sebanyak 3 laki-laki dan 3 perempuan sebagai wakil untuk mengutip cukai, dan dia berjanji bahawa tiga lelaki dan tiga wanita itu akan berkhidmat untuknya selepas peninggalannya"
(Riwayat Sri Dharmaraja)
Siapakah yang diminta oleh Sri Raja untuk dijamin dalam penjagaan Chakrapat,raja Ayutthaya?Petikan seterusnya dari riwayat itu menyebutkan:
"Nay U adalah adik dari Bana Sri Dharmasokaraja; isterinya Nan Keo. Nay Ku dan Nay U adalah anak saudara dan cucu dari Sri Bana Dharmasokaraja.Isteri Nay Ku bernama Nan Cam, dan bahkan isteri U bernama Nan Gambejra."
Jelas di sini,anak cucu Sri Raja mempunyai pangkal nama Nay.Isteri-isteri mereka berpangkal nama Nan (Nang).Inilah asal-usul keturunan 'Nai' iaitu kerabat Sri Dharmaraja,Melayu Segenting Kra.Adakah raja Ayutthaya mahu menerima tawaran (wasiat sebenarnya) oleh Sri Raja?Sudah tentu ya,kerana dengannya,dia mampu memiliki warisan perdagangan maritim dan ufti dari negeri-negeri Melayu.
"Ketika Bana Sri Dharmasokaraja meninggal dunia, raja (Chakrapat,raja Ayutthaya) telah memiliki Nay U, Nay Ku, dan bahkan Yu datang untuk memberikan penghormatan kepadanya, dan meminta daripada mereka perak dan emas untuk disimpan ke simpanan kerajaan"
(Riwayat Negeri-negeri era Pertengahan)
Ketiga-tiganya (Nay U,Nay Ku dan Nay Yu) adalah anak cucu raja Sri Raja,iaitu raja Sri Dharmaraja terakhir sebelum negerinya diserap ke dalam Ayutthaya.Raja Sri Raja telah berwasiat kepada Raja Chakrapat,supaya mengambil anak dan cucunya sebagai anak angkat setelah sepeninggalannya.Raja Ayutthaya itu mendengar dengan penuh teliti dan berjanji.Selepas pemergian Sri Raja,Raja Chakrapat menunaikan janjinya lalu mengambil ketiga-tiga Nay itu sebagai anak angkat raja Ayutthaya dan menaikkan Prah Sodhanaraja,anak kepada Sri Raja sebagai anaknya sendiri.Anak cucu raja Sri Dharmaraja itu kemudiannya telah dilantik semula sebagai penguasa di Ligor,iaitu Sri Dharmaraja yang baru.Keturunan mereka itulah yang digelar sebagai 'Nai' sehingga kini.Gelaran Nay/Nai ini juga mempengaruhi sistem penggelaran bangsawan Thailand pada hari ini.Begitu juga gelaran 'Nang' (rekod Khmer menyebutkan 'Nan') iaitu gelaran bagi wanita seperti nama 'Nang Che Yam' adalah berasal dari kerabat diraja Ligor/Sri Dharmaraja.Sebenarnya 'Nai' ini cuma gelaran keturunan sebagaimana Tengku,Wan atau Nik.
Apabila menjadi penguasa Ligor,keturunan Nay ini dibenarkan mengutip cukai ke atas 12 negeri di bawah Sri Dharmaraja lama.Ini yang dimaksudkan dengan "meminta daripada mereka perak dan emas untuk disimpan ke simpanan kerajaan".Apakah 12 negeri di bawah Sri Dharmaraja lama?
Petunjuk di Chaiya
Riwayat Nagara Sri Dharmaraja dan Riwayat Phra Dhatu Nakorn telah menunjukkan 12 wilayah Sri Dharmaraja lama,di mana ini dijumpai pada sebuah kuil Buddha purba di Chaiya dalam wilayah Suratthani sekarang.Digelar sebagai 'kota Naksat' dalam bahasa Thai merujuk kepada simbol-simbol dalam Naksat Pi,kalendar purba yang digunakan oleh orang Kedah Tua/Langkasuka pada masa silam untuk meramal musim penanaman padi.
๑. เมืองสายบุรี ปีชวด ถือ ตราหนู
๒. เมืองปัตตานี ปีฉลู ถือ ตราวัว
๓. เมืองกะลันตัน ปีขาล ถือ ตราเสือ
๔. เมืองปะหัง ปีเถาะ ถือ ตรากระต่าย
๕. เมืองไทรบุรี ปีมะโรง ถือ ตรางูใหญ่
๖. เมืองพัทลุง ปีมะเส็ง ถือ ตรางูเล็ก
๗. เมืองตรัง ปีมะเมีย ถือ ตราม้า
๘. เมืองชุมพร ปีมะแม ถือ ตราแพะ
๙. เมืองไชย (เมืองบันไทยสมอ) ปีวอก ถือ ตราลิง
๑๐. เมืองท่าทอง (เมืองสะอุเลา) ปีระกา ถือ ตราไก่
๑๑. เมืองตะกั่วป่า – ถลาง ปีจอ ถือ ตราสุนัข
๑๒.เมืองกระบุรี ปีกุน ถือ ตราสุกร
Maksudnya:
1. Negeri Saiburi (Narathiwat) membawa lambang Chut (Tikus)
2. Negeri Patani membawa lambang Chelu (Lembu)
3. Negeri Kelantan membawa lambang Khan (Harimau)
4. Negeri Pahang membawa lambang Thauh (Arnab)
5. Negeri Sraiburi (Kedah) membawa lambang Merong (Ular Besar/Naga)
6. Negeri Phattalung (Bedelong) membawa lambang Mahleng (Ular Kecil)
7. Negeri Trang membawa lambang Mahmia (Kuda)
8. Negeri Chumpon membawa lambang Mameh (Kambing)
9. Negeri Jaya (Krabi) membawa lambang Wouk (Beruk)
10.Negeri Thaa Thong (Kanchanadit) membawa lambang tahun Raka (Ayam)
11.Negeri Takuapa-Thalang (Phuket) membawa lambang Cho (Anjing)
12.Negeri Kraburi membawa lambang Kun (Kura-kura)
Ini bermakna pada masa silam wilayah Sri Dharmaraja adalah sejauh Ayutthaya hingga ke Pahang.Sebab itu di dalam Sulalatus Salatin,tersebut kisah raja Pahang Purba bernama Maharaja Dewasura yang ditawan oleh Seri Bija Diraja,ketika Melaka menyerang Pahang.Maharaja Dewa Sura ini adalah berketurunan Siam Asli dan konotasi 'Siam Asli' ini adalah merujuk kepada Melayu Segenting Kra atau Mon dimana tradisi Khmer menyebutnya sebagai 'Syam Kut'.Penulis (Srikandi) akan menerangkan apakah itu 'Syam Kut' pada topik berikutnya.
Ketika itu,Melaka yang semakin meluaskan empayarnya merampas Pahang daripada Sri Dharmaraja yang selepas itu menjadi naungan Ayutthaya.Ini menyebabkan Ayutthaya semakin 'panas' dengan tindak-tanduk Melaka yang semakin berani.Mengapa Ayutthaya tercabar?Ini kerana Sri Dharmaraja adalah negeri 'anak angkat' kesayangannya.Telah diterangkan sebelum ini tentang Nay U,Nay Ku dan Nay Yu,anak cucu Sri Raja (raja Sri Dharmaraja lama terakhir),yang diambil sebagai anak angkat oleh Chakrapat (1509-1568).Dalam filem Sri Suriyothai,raja inilah yang membunuh Sri Sudachan dan Worawongsathirat dari dinasti U-Thong,dengan pertolongan dari kerabat Sukhotai dan Sri Thammarat (orang-orang Melayu Ligor).
Siapakah Syam Kut?
Apakah dia Syam Kut?Ditemui terpahat pada dinding Angkor Wat,segerombolan tentera Khmer sedang berarak untuk pergi berperang.Anehnya,ada sekelompok tentera yang berpakaian agak berbeza dari tentera-tentera Angkor yang lain.Mereka memakai kain sarung dan di kepala mereka terdapat lilitan kain.Orang-orang Khmer purba memanggil unit tentera ini sebagai 'Syam' (seperti unit-unit tentera dalam kerajaan Athens seperti Arcadia dan Sparta juga seperti unit Myrmidons yang diketuai oleh Achilles dalam Perang Trojan).Sejarahwan Khmer merujuk ukiran tentera aneh ini sebagai "salah satu unit tentera upahan dari Sriwijaya".Kelompok Syam inilah asal-usul terbitnya nama 'Siam' dan kemudiannya dipakai oleh orang-orang Thai ketika penubuhan Ayutthaya.
Semua ini akan membawa kita kepada satu nama,
"Maulimalaraja"
Dimana gelaran ini adalah 'title' diraja yang paling dihormati,digunakan oleh raja-raja Laos purba di Lanxang (Lancang),raja-raja Funan dan Kemboja serta raja-raja Dharmasraya di Sumatera.
Kita kembali ke masa belakang,kira-kira 1700 tahun yang silam,ketika seorang raja Melayu purba sedang enak-enak berehat di istananya,sambil ditemani oleh gundiknya,dari orang Kensiu yang ditemuinya di bukit ketika berburu.Wajah gadis bukit itu agak menarik hatinya,dan raja Melayu itu meminta izin dari ibu-bapanya untuk menjadikannya gundik diraja.
Kita akan belajar rahsia hubungan raja-raja Melayu dengan etnik-etnik bukit berbahasa Mon-Khmer ini...siapa Nang Kemuning,raja Kayangan yang menculik puteri Khmer,perahu siput dan rahsia Maulimalaraja dalam episod seterusnya,"Mahidhara Court & Ketomala Dynasty"...
Celoteh terbaru Srikandi di halamansrikandi
----------------------------------
Next...
Alter Terahsia Bangsa Melayu XVIII
"Mahidhara Court & Ketomala Dynasty"
-Preah,Prah,Praoh dan Raja Perahu
-Siapa Ketura dan Ketula?
-XXXXXXXX
-XXXXXXXX XXXXXX XXX XXXXX
-Istana di Gunung Jerai
-Naga yang membaham pulau
-Cinta gadis bukit
-"XXXXXXXX"
-Kisah raja beristeri dua
-Darah Malayu dalam Puteri Mera
-XXXXXXX XXXXXX XXXXX
-Surat dari Lanxang
-Gelaran raja-raja Mala
-Kisah dua beradik Samala dan Vimala
-Dari Ketomala ke Sriwijayamala
-XXXXXXXXX XXXX XXXXXXX
Rahsia makin sukar untuk dibaca! Siapakah Malayu? Siapakah Sriwijayamala? Sungguh!Epik Kemelayuan itu amat mengasyikkan!
Nyalakan jamung...kita baca bersama-sama ayat-ayat pada batu bersurat...
Setia bersama MistisFiles,menjejak rahsia nenek moyang...
Jangan ke mana-mana!!
No comments:
Post a Comment